Selasa, 25 November 2008

Pemimpin Umno pewaris Nabi?

DALAM terlalu banyak serangan Umno, rupanya kita tertinggal untuk respon satu artikel oleh Dr Muhamad Khir Toyo, Menteri Besar Selangor bertajuk "Pemimpin PAS bukan kalangan pewaris Anbiya."

Walaupun berkelulusan doktor gigi dari Universiti Malaya, beliau telah diberikan amanah mempengerusikan Biro Agama Pergerakan Pemuda Umno Malaysia. Suka atau tidak suka, beliau terpaksalah bertutur dalam imej ahli agama. Oleh kerana tajuk serangan ini mengisahkan cerita pemimpin PAS yang dianggap bukan pewaris Nabi, maka saya masuk terus jugalah kepada tajuk:

1) "Apakah dengan memiliki sekeping ijazah, seseorang itu layak digelar ulama."

Pertanyaan Dr Khir inipun sudah menampakkan kekeliruan. Ijazah cuma kriteria asas keperluan semasa. Di zaman Nabi S.A.W., soal ijazah tidak timbul. Bagaimanapun, dalam dunia sekarang, ia penting. Sekurang-kurangnya ijazah itu mengesahkan yang seseorang itu pernah menjalani satu kursus intensif keilmuan dalam Islam secara berstruktur di sesebuah institusi pengajian tinggi yang diiktiraf.

Jika Tok Guru Nik Abdul Aziz tidak boleh menggunakan 'playar' untuk mencabut gigi orang sesuka hati, sebegitulah juga tidak bolehnya seorang 'dentist' untuk bertutur mengenai Islam sekehendak hatinya. Segala sesuatu ada disiplinnya. Bekas Presiden PAS yang lalu adalah seorang ulama.

Pemangku Presiden PAS yang ada sekarang ini pun seorang yang amat berkelulusan di bidang agama. Tok Guru Haji Hadi misalnya berkelulusan sarjana di bidang Siasah Syariah dari Universiti Al Azhar, manakala beliau juga memiliki ijazah pertama dari Universiti Madinah di bidang Syariah.

Apa kurangnya juga dengan Tok Guru Nik Abdul Aziz yang mempunyai Ijazah dari Universiti Deoban dan mengakhiri pengajian sarjananya di Universiti Al-Azhar. Di sini, jika bolehlah saya bertanya, agaknya apa pulalah kelulusan agama orang nombor satu dalam Umno sehingga beliau seolah-olah memiliki lesen besar untuk mempersoalkan hampir semua ulama?

Sepatutnya yang lebih mustahak disentuh oleh Dr Khir jika pun mahu bercakap mengenai ulama ialah amalan. Ulama mendapat keistimewaan melalui pengesahan lidah Rasulullah S.A.W. sebagai pewaris Baginda semata-mata kerana beristiqamah meneruskan risalah perjuangan Baginda.

Yang halal dihalalkan manakala yang haram diharamkan. Soal kelayakan sama ada berijazah atau tidak tidaklah sangat menjadi keutamaan. Inilah pun yang selalu membezakan antara pemimpin dan ulama Umno dengan pemimpin dan ulama dari PAS.

Mengenai dua daripada tiga Naib Presiden dan Ketua Pemuda PAS tidak layak digelar ulama pun tidak timbul. Yang penting ialah haluan perjuangan PAS ditentukan oleh ulama.

Yang pastinya semua pemimpin di segenap peringkat menerima teraju yang dipimpin oleh ulama. Semua peringkat dalam jentera parti PAS bergerak dalam satu kesatuan fikrah, matlamat, kesimpulan dan tindakan untuk memartabatkan Islam dalam segenap segi melalui panduan Al Quran, Hadith, Ijma' dan Qias.

Inilah pula yang kita sebutkan sebagai 'Kepimpinan Ulama'. Bukankah ini jelas? Soalan Dr Khir yang berbunyi "bagaimana kalau satu hari nanti Presiden PAS bukan berlatar belakang agama", maka ini dipanggil hipotetikal. Kita tidak main soal "kalau". Sekali lagi Dr Khir menampakkan kegopohan.

Saya juga boleh bertanya soalan yang sama jika saya mahu iaitu "apa kata kalau seorang Presiden Umno satu hari nanti mahu memartabatkan Islam di Malaysia dengan hanya menggunakan panduan Al Quran dan Hadith".

Bolehkah beliau diterima? Lagi pun ini soal strategi. PAS ini berstrategi sifatnya. Kita tidak perlu mendedahkan semua. Kita tidak bergerak melainkan dengan strategi.

Menyentuh tentang pengaruh Syiah yang disebutkan oleh beliau sebagai masalah besar dalam PAS, ini fitnah. Untuk makluman beliau, tidak ada seorang pun ulama PAS yang menganut fahaman Syiah. PAS tidak pernah menyifatkan ulamanya sebagai maksum baik secara lisan atau tulisan.

Jika Dr Khir ada bukti, silalah. Jika tiada, saya khuatir yang beliau boleh disaman di mahkamah. Kita tengoklah! Perkataan 'ulama tidak pun dijamin masuk syurga', bukan perkara baru. Semua orang tahu! Tanpa Dr Khir beritahupun, semua orang tahu.

2. Islam milik semua, tapi...

Tidak pernah pun sesiapa berkata bahawa Islam itu hanya milik PAS. Ia milik Allah dan milik umat Islam di sepanjang zaman. Ia berhak diperkatakan oleh sesiapa selagi kata-kata itu bersemangatkan dakwah iaitu "sampaikanlah barang sepatah ayat" (maksud Hadith). Berkata-katalah selagi boleh menyampai dan menyuburkan agama Allah S.W.T.

Bagaimanapun, jika berkata-kata mengenai Islam sehingga boleh memfitnah agama sendiri maka lebih baik diam. Islam ini diturunkan oleh Allah Yang Maha Bijaksana. Ertinya sesiapa jua yang berhasrat untuk mengupas dan membedah ilmu Islam dengan lebih serius maka dia memerlukan ilmu tambahan.

Di sinilah letaknya satu lagi lapis syarat yakni berilmu. Ayat pertama, Iqra' yang menggesa umat manusia membaca adalah isyarat awal tentang kemestian menuntut ilmu. Jika tidak mempunyainya, cari! Jika sedang belajar, buatlah cara seperti orang yang sedang belajar.

Islam ini kan luas. Sebagai analogi, semua pengguna motosikal boleh memperkatakan tentang motosikal. Bagaimanapun, tidak semua pengguna pula berkepakaran untuk membuka enjinnya.

Apa lagilah jika enjinnya mahu diubahsuai dan ditafsirkan semula kegunaannya. Hanya mekanik sahaja yang boleh berbuat demikian. Pendek kata, jika kita cuma bertaraf "user" maka "behave yourself as a normal user". Jika tidak, tuan akan ditertawakan; tidak di depan, di belakang.

Pemimpin Umno dengan Islam pun demikian. Jika nak bercakap logik, logikkah seorang yang berkelulusan pergigian atau perubatan cuba menunjukkan kepakaran di bidang ilmu Islam yang sangat kritikal hingga sampai berani mempersoalkan kesahihan dan kreadibiliti empat Imam Besar iaitu Hanafi, Hambali, Shafei dan Maliki serta 12 Imam Syiah atau ulama-ulama sezaman semata-mata di atas hujah yang semua manusia tidak maksum.

Memang tiada khilaf pun akan tidak maksumnya semua orang kecuali Nabi Muhammad S.A.W. Hingga sampai ke hari kiamat pun begitulah. Soalnya, semaksum mana pula si tukang kritik? Apa jaminan umat Islam bahawa tafsiran semula Al Quran oleh ulama dan pemimpin Umno akan lebih baik dan menepati kehendak Islam.

Umno sesungguhnya sedang menggali kuburnya sendiri! Saya menjawab isu ini kerana ia telah disebut dengan panjang lebar dalam ucapan penggulungan Presiden Umno di PWTC pada 21 Jun 2003, di mana Dr Khir Toyo turut dilihat terbongkok-bongkok dan terhingguk-hingguk mengaminkannya.

3. Kemungkinan ulama terbabit dalam politik bukan mencari kebenaran tulen.

Ini cuma kemungkinan. Ini agak-agak Khir sahaja. Bolehkah Dr Khir sahkan bahawa Nabi kita Muhammad S.A.W. itu tidak berpolitik. Jika baginda berpolitik, Baginda tidak lagi objektif dalam mencari kebenaran yang tulen? Begitu? Baginda mungkin menyampaikan Islam kerana mahu menjadi pemimpin besar di Kota Mekah! Begitulah agaknya jika mengikut logik Dr Khir.

Sebelum Dr Khir berkata begitu, malangnya Abu Lahab, Abu Jahal dan pemimpin-pemimpin Qurisy di zaman Nabi pernah meniupkan keraguan yang semacam ini. Sekali lagi, kebijaksanaan Khir berada dalam 'bahaya'. Ia hampir menyerupai kebimbangan yang pernah disebutkan oleh musuh Nabi di zaman Nabi. Di dalam Sirah, kita dengan mudah boleh bertemu dengan fakta ini.

Demikian juga dengan para sahabat Nabi. Semuanya menjadi ahli politik yang unggul sehingga menduduki kerusi Khalifah atau Perdana Menteri. Semaklah sejarah Khalifah Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman dan Saidina Ali. Mereka adalah ulama dan mereka juga Perdana Menteri. Demikian juga ulama yang sekali gus berpolitik seperti Abdul Malik bin Marwan, Khalifah Umar Ibn Abdul Aziz dan Khalifah Harun Aminul Rashid.

4. Ulama menaikkan gaji sendiri?

Lihatlah bagaimana Dr Khir bermain! Penetapan gaji, gred gaji, elaun dan imbuhan anggota pentadbiran adalah perkara yang terkandung di dalam Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 atau disebut juga dengan Akta 237. Ia dipinda dan dikemaskini dari semasa ke semasa. Pemakaiannya dilakukan oleh semua kerajaan negeri mengikut kesesuaian dan keupayaan masing-masing.

Dalam konteks menaikkan gaji/elaun, negeri Kelantanlah yang paling akhir membuat semakan dan pelarasan setelah hampir semua kerajaan negeri di bawah Umno/BN melakukannya.

Di Kelantan, kuatkuasanya hanya bermula pada bulan Julai 2002. Perkara ini ada kadarnya. Jika salahlah kita, maka salahlah "Parent Act" yang diluluskan oleh Parlimen itu.

Begitu juga dengan memakai kereta besar. Ini pun sesuatu yang ada peraturan dan telah menjadi norma yang ditetap dan diterima oleh kerajaan Persekutuan. Kita cuma mematuhi arahan Persekutuan. Lagi pun, pemimpin Umno pun sentiasa menegaskan yang penting dalam Islam ialah "substance"?

Jika benarlah begitu, kereta besar itu bukankah sekadar "form" dan "non substance"! Agaknya Dr Khir mengharapkan pemimpin PAS semuanya 'berunta' dan mungkin Menteri Besar Kelantan akan berkeldailah untuk tiba ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja.

Bertolak dari Kota Bharu pada 1 April untuk bermusafir sebelum tiba di Kuala Lumpur pada 1 Mei sebulan berikutnya! "Come on Khir, steadylah!

5. Anak negeri mereka mencari rezeki di negeri-negeri Umno/BN

Ini satu lagi hujah Dr Khir yang cukup bergeliga. Syabas! Mari kita tanya beliau dengan dua soalan di bawah:

i) Tidakkah terdapat 50,000 orang Johor yang menyeberangi Tambak Johor untuk bekerja di Singapura setiap hari. Johor diperintah oleh PAS atau Umno?

ii) Tidakkah semua orang Nabi berhijrah dan berpindah randah. Ambil sahaja Nabi kita S.A.W. dan para sahabat Radhiallahu anhu. Ramai yang tidak tinggal di Madinah. Mereka pernah ke Sind, Rusia, Azerbaijan, atas pelbagai urusan dakwah dan perniagaan. Sejarah mencatatkan yang mereka pernah sampai sejauh ke kaki gunung Alps, tempat yang baru saja diadakan Persidangan Negara-Negara G8 iaitu di Avian.

Apa salahnya orang Kelantan yang keluar lalu memakmurkan negeri lain selain dari berusaha di negeri sendiri? Tidakkah "moving around looking for greener pasture" adalah ciri-ciri budaya sebuah masyarakat yang dinamik?

Jika sejarah orang Melayu selalu berbangga dengan kisah Panglima Awang yang berani merentas lautan hingga sampai ke Madagaskar, kenapa pula Dr Khir memaparkan amalan manusia di Kelantan ini sebagai sesuatu yang menghinakan.

Merantau itu merupakan sebahagian dari cara hidup Islam. Imam Shafie Rahimahullah pernah bersyair mengenai kepentingan bermusafir yang bermaksud:

"Bermusafirlah, pasti engkau memperolehi ganti orang yang engkau berpisah daripadanya dan bersusah payahlah kehidupan yang mulia itu hanya diperolehi dalam bersusah payah engkau akan mengeluarkan mereka dan memperolehi sumber kehidupan memperolehi ilmu, budi pekerti yang mulia dan dapat pula bersahabat dengan orang yang baik."

Allah S.W.T. turut menggesa hambaNya untuk bergerak dan merantau ke serata muka bumi melalui FirmanNya yang bermaksud: "Katakanlah, berjalanlah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan itu." (Surah Al An'aam: Ayat 11)

Siapakah agaknya " orang-orang yang berdusta itu " yang digesa oleh Allah S.W.T untuk diperhatikan? Jika ditoleh sedikit dari sejarah Islam, kita juga akan bertemu dengan fakta yang serupa. Salman berasal dari Farsi. Suhi asalnya dari Rome. Bilal Al Habashi datang dari Habashah.

Nabi S.A.W. berhijrah dari Mekah ke Madinah dan bermastautin di sana selama 10 tahun dalam mengembangkan Islam sehingga terbentuknya negara Islam Madinah. Baginda lalu kembali semula untuk membuka Kota Mekah.

Semuanya penuh dengan pergerakan, perjalanan dan hijrah. Imam Bukhari, Muslim, Ibnu Majah dan Baihaqi adalah Imam-Imam masyhur yang merantau keluar dalam menyebar dan mengembangkan ajaran Islam. Sebab itu Islam membekalkan kemudahan untuk bersembahyang secara Jama' dan Qasar. Sesungguhnya, bergerak dan keluar dari kampung halaman, pendek kata telah menjadi lumrah bagi ciri sebuah bangsa dan budaya yang maju.

Sama juga dengan sejarah dunia. Sir Francis Drake dikatakan manusia kulit putih pertama yang mengelilingi dunia. Walaupun berasal dari Plymouth, England tetapi beliau sempat sampai sejauh Amerika Selatan dengan kapalnya bernama Pelican.

Christopher Columbus pula yang berasal dari Sepanyol pernah merantau ke Kepulauan Bahamas di tahun 1491 dan mengakhiri pelayarannya sejauh Honduras di tahun 1502. Gautama Buddha yang berasal dari utara India mengembara ke serantau alam dan akhirnya mati di satu tempat sejauh Benares dalam usia 80 tahun.

Begitu juga dengan Amerigo Vespucci iaitu seorang berbangsa Itali. Hasil keberanian dan jiwa yang gemar keluar untuk merantau menjadikan beliau dikenali sebagai orang yang pertama menjumpai Kuala Sungai Amazon, Trinidad, Haiti dan Brazil.

Lalu beliau disahkan sebagai orang yang bertanggungjawab membuka Amerika. Amerika datang dari nama Amerigo, seorang berbangsa Itali. Malah cerita pembukaan Kota Melaka pun bermula dari Parameswara yang berasal dari Temasik. Dalam konteks Sejarah Melayu, kita bertemu pula dengan nama Abdullah Munshi, seorang tokoh pelayaran yang juga sasterawan.

Beliau merantau ke segenap pelusuk Kepulauan Melayu hinggalah ke Kelantan. Hatta, Hang Tuah sekali pun yang menjadi kebanggaan kita merantau jauh dari Melaka ke Pahang, Terengganu dan Siam. Dari sini amat jelas tentang mulianya amalan merantau. Tidak timbul sama sekali soal kehinaan atau faktor tekanan kemiskinan.

Usahkan negeri-negeri yang diperintah oleh orang Umno; anak Kelantan diajar untuk merantau ke serata alam kerana ianya tidak bertentangan dengan Islam. Biarlah dipandang hina oleh Dr Mahathir, Dr Khir Toyo atau lain-lain pemimpin Umno tetapi orang mukmin bukan menuntut pujian dan keredhaan dari seorang manusia atau sesiapa.

Jelas sekali di sini bahawa Dr Khir Toyo sedang bercelaru dalam fikirannya. Soal 'Tuan' mahu menjadi Pengerusi Biro Agama Umno adalah soal tuan tetapi cubalah mendalami sedikit fakta Sejarah Islam dan sejarah dunia sebelum mula bersyarah dan menyerang orang lain di laman web.

Mari kita tumpang sedikit kata-kata cerdik pandai dunia mengenai pengembaraan:

i) "Travelling is almost like talking with men of other countries." - Rene Descartes.

ii) "Travel teaches toleration" - Benjamin Disraeli.

iii) "I have travelled among unknown men In lands beyond the sea Nor, England! Did I know till then What love I bore to thee" - William Woodworth (Lihat "I travelled among unknown men"). Amboi! Cerdiknya Khir Toyo; tak sangka !

Kami sebenarnya tidak adalah nak kisahkan sangat tentang Menteri Besar itu. Lagi pun, ini sebuah negara demokrasi. Hak bersuara menjadi hak kepada sesiapa termasuk Dr Khir dan juga saya. Bagaimanapun, apabila hujah Dr Khir semakin kelihatan tidak berteras malah banyak membawa fitnah kepada khalayak maka terpaksalah beliau diberikan sedikit teguran dan layanan.

Jika keadaan di Selangor sangat beres maka sikap Dr Khir yang cuba berprihatin dengan PAS dan Kerajaan Negeri Kelantan boleh difahami. Namun, dalam keadaan Selangor sendiri yang sedang berdepan dengan pelbagai isu yang sangat memalukan, sikap "over critical" beliau tentunya dirasai kejanggalannya. Kita ragui keikhlasan beliau.

6. Dakwaan tentang salah laku Khir Toyo

Apabila tuduhan-tuduhan melibatkan seorang Menteri Besar yang juga seorang Pengerusi Biro Agama Pergerakan Pemuda Umno Pusat, maka ia adalah serius. Laporan yang dibuat terlalu banyak mengenai beliau. Sepatutnya Dr Khir perlu buktikan yang beliau bersih dari tuduhan-tuduhan ini. Soal kontrak paip airlah, pemberian tanahlah.

Pembinaan jalan bendang yang terlalu mahallah. Soal pengambilan balik tanah di Bangilah, soal Surau Jubli Perak yang diruntuhkanlah. Soal murtad yang tidak terkawallah. Isu rasuah di MPAJlah.

Dan, terkini pula isu pusat pelupusan sampah yang timbul melibatkan lebih 10,000 penduduk yang membantah cadangan projek mega melibatkan penggunaan insinerator yang akan melibatkan belanja melebihi RM1.5 bilion.

Jika difokuskan kes ini, kita akan bertemu dengan fakta yang cukup menakutkan. Kalaupun teknologi ini diambil dari negara Jepun sekali pun, tetapi jangan dilupa bahawa projek ini masih bertaraf "pilot". Dari kajian dan pemerhatian yang telah dibuat, teknologi tajaan Ebara Corporation ini amat tidak mesra pengguna.

Mengikut laporan, Sungai Hakiji di Fujisawa, Jepun sedang mengalami pencemaran yang teruk. Bahan buangan toksid sampah yang dimusnahkan menggunakan teknologi ini didapati mencapai paras 8,100 kali melebihi dari paras yang dibenarkan oleh pihak berkuasa di Jepun.

Menyedari hakikat risiko ini, negara-negara seperti USA, UK, Belgium, Afrika Selatan dan Denmark sedang menghentikan penggunaannya. Isu ini sangat berkepentingan rakyat. Dalam konteks Selangor, ia melibatkan penduduk di Broga, Beranang, Semenyih dan Kajang. Memindahkan penempatannya dari Kampung Bohor, Puchong ke Broga tidak menyelesaikan masalah. Kajian dan laporan EIA yang teliti perlu dilakukan oleh Dr Khir.

Ia tidak boleh ditolakkan ke tepi dengan mudah. Jangan sampai kesihatan dan keselamatan penduduk Selangor dijadikan cagaran. Kalaupun gilakan untung dan mabukkan apa sahaja yang bersifat canggih sekalipun, Dr Khir perlu faham akan kedudukan Semenyih itu sendiri yang telah menjadi kawasan tadahan air tradisional yang sangat strategik.

Bahan sisa buangan dari proses "incineration" yang kemungkinan besar mencemari Sungai Semenyih serta anak-anak sungainya akan pasti menjejaskan kehidupan penduduk di sekitar yang tidak kurang dari dua juta orang di Lembah Klang dan Putrajaya.

Pendeknya, Dr Khir mempunyai terlalu banyak kerja rumah yang perlu diselesaikan di dalam kelasnya. Tumpukan perhatian kepada "inhouse homework" yang bertimbun-timbun itu.

Risaulah sedikit dengan kehadiran PAS, KeADILan dan DAP setempat yang kelihatan semakin segak dan tampan bergaya. Di bawah kepimpinan Dato' Dr Hassan Ali yang semakin gagah selaku Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Selangor, semua rakyat sedang melihat bagaimana Dr Khir Toyo yang kelihatan semakin kaku setiap kali Dewan bersidang.

Di dalam Agenda Daily, Dr Khir nampaknya ghairah pula untuk mencuba nasib di Kerusi Naib Presiden. Dia juga turut dibaca penganalisis sebagai amat bernafsu untuk menduduki Kerusi Ketua Pemuda Umno Pusat menggantikan tempat Hishamuddin. Itu, Dr Khir punya sukalah.

Bagi saya, eloklah Dr Khir menjadi Menteri Besar yang sepenuh masa. Terlalu banyak angin pun tidak baik; banyaklah kosongnya dan banyak pulalah akan sendawanya. Buurgh!

7. Penutup

Di hujung tulisan beliau, Dr Khir lalu dengan bangganya mendakwa yang pengurusan ekonomi kerajaan Umno/BN teramatlah cekap. Patutlah! kadar dividen Tabung Haji dan KWSP sedang berada di paras terendah. Wang di Tabung Haji dan KWSP sudah beberapa kali dikopak. Kes rasuah yang melibatkan kerugian RM18 bilion di Perwaja? KTMB rugi RM100 juta setahunlah. Bina mahligai bernilai RM200 juta? KLIA? Litar Lumba Formula One?

Boleh sama-sama kita diberi maklum tentang status hutang negara? Berapa agaknya?

Tengok dalam air
Nampak bayang-bayang
Campak satu batu
Bayangpun hilang

Entahkan kenapa. Tiba-tiba saja ingatan saya kembali kepada sebuah lagu lama. Wallahu a'lam.

Tiada ulasan:

Listen to Quran