Isnin, 29 Disember 2008

Cari makna baru Hijrah

Sebagai junjungan besar yang sentiasa diagungkan oleh umat Islam, segala detik peristiwa yang berlaku dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW sentiasa dianggap penting dan bermakna oleh masyarakat Islam. Nabi Muhammad, bagi mereka, bukan manusia biasa yang boleh diletakkan beriringan dengan sosok-sosok lain dalam sejarah kemanusiaan.

Baginda merupakan, Rasul Junjungan dan Insan Kamil yang diutus Tuhan bagi menzahirkan kesempurnaan sifat akhlak seseorang insan. Baginda merupakan manusia yang paling tinggi martabat kerohaniannya dan yang paling di sayangi Tuhan.

Walaupun baginda seperti manusia lain, hadir dalam latar lingkungan sejarah dan geografi tertentu, peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang kehidupan baginda tetap mengungkapkan pengajaran sejagat yang sentiasa abadi dan segar kepada diri setiap Muslim.

Begitu juga dengan peristiwa hijrah yang dilalui oleh Nabi Muhammad SAW. Secara historis, ia merupakan detik perpindahan dakwah Nabi dari peringkat pertama di Mekah yang penuh dengan mihnah pesona serta cabaran yang amat mencengkam ke tahap mengancam nyawa baginda sendiri, ke peringkat yang kedua di Madinah yang lebih meluas ruang dakwahnya serta menjanjikan cahaya kemenangan.

Daripada segi pensyariatan agama, ia merupakan dasawarsa baru dalam pelaksanaan undang-undang agama yang lebih berasaskan muamalah dan kemasyarakatan berbanding peringkat Mekah yang lebih tertumpu kepada pengukuhan akidah dan pandangan alam Islam.

Namun di sebalik dimensi historis yang selalu diulang sama ada dalam pengajian sirah atau siri-siri ceramah Maal Hijrah, peristiwa ini sesungguhnya menyampaikan kita kepada beberapa pengajaran yang lebih mendalam dan amat terkait untuk kehidupan kita sekarang.

Antara hikmah penting di sebalik peristiwa hijrah yang harus diteladani terutama oleh umat Islam zaman ini yang berhadapan dengan pelbagai fitnah dan cabaran ialah gambaran sikap realistik dan kebijaksanaan Nabi apabila berhadapan dengan cabaran dan ancaman semasa.

Di samping hakikat bahawa Nabi Muhammad merupakan insan terpilih dan yang terbaik di kalangan seluruh makhluk Allah, insan yang mustajab doa-doanya dan dikurnia mukjizat dari Tuhan, kehidupan Nabi juga seperti kehidupan manusia yang lain, menuruti sunnatullah yang tidak lari daripada cabaran dan pedih getir kehidupan.

Dengan perkataan lain, kehidupan Nabi juga terikat dengan batasan manusiawi yang terpaksa melalui pelbagai ranjau perjuangan hidup. Inilah yang terjelma antara lain daripada peristiwa hijrah Nabi apabila sunnatullah mengajar bahawa golongan yang lemah walaupun benar amat sukar mengalahkan golongan yang lebih kuat terutama yang mempunyai persediaan.

Sebagai golongan yang baru muncul dan mempunyai jumlah yang kecil dan persiapan yang kurang, tekanan dan ancaman yang ditujukan oleh golongan Musyrikin di Mekah ternyata terlalu kuat untuk dihadapi oleh Nabi dan golongan Muslimin yang ada pada ketika itu.

Justeru perpindahan dari Kota Mekah bagi menyelamatkan golongan Muslimin tidak dapat dielakkan. Nabi perlu mencari ruang dan kekuatan baru ke Madinah untuk memperkukuhkan kedudukan agama Islam.

Apakah noktah pengajaran yang dapat diambil oleh masyarakat Islam sekarang daripada hakikat hijrah Nabi ini? Sekiranya Nabi, insan terpilih yang dikurniakan Allah pelbagai bentuk mukjizat itu sendiri menyedari hakikat bahawa baginda harus bertindak berdasarkan waqi' semasa, berdasarkan kekuatan dan kelemahan manusiawi yang ada, umat Islam dewasa ini sudah pasti harus lebih menyedari mengenai waqi' kehidupan yang melingkungi mereka.

Secara umumnya, masyarakat Islam sememangnya berada dalam keadaan yang lemah baik dari segi kekuatan fizikal, ketenteraan ataupun kekayaan ekonomi. Malah dari segi kesatuan, mereka agak tertinggal berbanding masyarakat lain terutama negara-negara Barat.

Akan tetapi terdapat sekelompok dari masyarakat Islam yang nampaknya yang gagal menyedari hakikat ini lantas bertindak seolah-seolah mereka berada dalam keadaan yang kuat. Mereka mengambil tindakan di luar batasan waqi' semasa yang ada pada masyarakat Islam. Ini merujuk kepada tindakan sekelompok yang melakukan tindakan mengebom dan menculik serta membunuh yang melibat manusia tidak berdosa yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

Kita tidak menafikan bahawa sebahagian peristiwa tersebut adalah tindak balas daripada segelintir orang Islam terhadap tindakan politik yang dilakukan oleh kuasa besar ke atas beberapa negara Islam atau merupakan perencanaan oleh pihak-pihak tertentu.

Namun cara bertindak yang dilakukan ternyata tidak menguntungkan masyarakat Islam secara keseluruhannya terutama apabila dilihat dari sudut kekuatan umat Islam dan kesediaan mereka menghadapi tindakan balas sekiranya berlaku.

Mengundang

Kita melihat sebahagian besar daripada tindakan sebegini sekadar mengundang tindakan balas yang lebih keras dan buruk kepada masyarakat Islam sebagaimana yang telah kita lihat berlaku di Afghanistan, Iraq dan negara Islam lain. Yang penting ia juga menggambarkan kerangka pemikiran yang ekstrem hasil daripada kekeliruan tentang ajaran Islam.

Di sinilah pentingnya pengajaran peristiwa hijrah yang merakamkan bahawa Nabi sendiri bertindak berdasarkan kekuatan dan kemampuan yang ada apabila baginda mengambil keputusan untuk melakukan hijrah. Dengan perkataan lain, peristiwa hijrah memberi iktibar bahawa kita harus mengumpul kekuatan dan tidak bertindak menzahirkan kekuatan sebelum masanya, apatah lagi bertindak di luar kebijaksanaan. Sesungguhnya inilah antara makna hijrah yang baru yang harus kita manfaatkan untuk suasana kita dewasa ini.

Dengan menyedari bahawa umat Islam berada dalam keadaan yang lemah, bukan bermakna kita pasrah dengan keadaan yang ada. Di samping ingatan bahawa umat Islam harus terus memperbaiki kelemahan mereka dan mempersiapkan kekuatan fizikal sebagaimana yang disaran al-Quran, seperkara yang juga penting ialah kekuatan Islam sebenarnya masih boleh dijelmakan dalam pelbagai dimensi lain. Misalnya umat Islam masih kuat dan kukuh dari segi kepercayaan agama dan akhlakiyah terutama dalam menolak faham-faham yang bertentangan dengan agama.

Berbanding dengan Islam, sebahagian agama lain misalnya, telah pun berkompromi dan mengorbankan doktrin agama mereka dengan membuka pintu kepada kemasukan aliran-aliran asing seperti sekularisme dan sinkretisme. Disebabkan kelemahan sistem kepercayaan mereka, agama-agama tersebut telah merubah dasar-dasar agama dan kepercayaan mereka bersesuaian dengan ideologi-ideologi tersebut.

Namun agama Islam, berkat kekuatan pendidikan agama dan pertahanan ilmiah yang dilakukan oleh golongan ilmuwan Islam sepanjang zaman, ia masih kukuh bertahan daripada ancaman aliran-aliran pemikiran asing.

Kekuatan yang pada agama Islam ini harus dipertahankan dan diperkukuhkan melalui pendidikan yang betul tanpa semestinya melibatkan penzahiran dari segi kekuatan fizikal dan ketenteraan. Malah, dari segi strategi, sememangnya umat Islam dalam keadaan mereka lemah fizikal, seharusnya menumpukan perhatian dalam memperkukuhkan aspek keilmuan dan pendidikan ini.

Ia juga merupakan satu jihad yang besar dan harus dilakukan dengan menggunakan usaha yang kuat dan serius. Malah, ia juga satu bentuk peperangan yang melibatkan persediaan kekuatan dari segi intelektual dan keilmuan.

Sekiranya kita prihatin terhadap pembunuhan dan serangan yang berlaku ke atas negara-negara Islam oleh kuasa Barat, kita juga harus lebih prihatin terhadap serangan pemikiran asing yang telah 'mengorbankan' dan mengelirukan jutaan masyarakat Islam.

Peperangan inilah yang nampaknya banyak dilupakan oleh sebahagian masyarakat Islam apabila kerangka berfikir mereka amat tertumpu kepada penyelesaian dari aspek siasah dan ketenteraan. Malah jika ditinjau dari segi sejarah, aspek inilah yang menjadi asas kepada pembinaan tamadun. Zat kepada kekuatan Islam, dengan kata lain ialah kekuatan kepercayaan dan keilmuan.

Mungkin ini merupakan salah satu makna dan rahsia hijrah yang harus diingatkan kepada masyarakat Islam. Hijrah bukan sekadar berpindah dari satu suasana kepada suasana yang baru, tetapi juga mengembalikan diri kita kepada suasana yang kita telah pun berada sebelumnya. Jika sebelum ini kekuatan tamadun Islam terletak kepada kekuatan iman dan ilmu, marilah kita berusaha berhijrah dengan mengembalikan kekuatan tersebut kepada umat Islam.

Selasa, 16 Disember 2008

ibadah


CommentEstate.com | Friendster Comments

Watch Naruto-Chicken Recipes-Computer Geeks

Yahudi mahu orang Islam jadi kafir

MEMANGLAH orang Yahudi berusaha supaya orang Islam menjadi kafir. Antaranya cara hidup mereka yang kita terima dengan terang dan jelas sekali iaitu teori-teori politik, ekonomi, pendidikan yang dilaksanakan pada hari ini atau yang dipanggil sosialisme, kapitalisme, pragmatisme, demokrasi dan seumpamanya, Jika dikaji teori-teori ini adalah dilahirkan oleh orang Yahudi atau Nasrani.

Merekalah yang mencipta teori-teori dan falsafah ini, di mana kebanyakan orang Islam percaya kepada teori ini sehingga sanggup menolak Islam sekali gus tidak menyedari diri telah menjadi kafir. Inilah apa yang dikehendaki oleh orang kafir yang Allah Taala sebut di dalam ayat yang kita mesti menyedarinya.

Apa yang berlaku itu adalah kerana hasad dengki mereka selepas ternyata bagi mereka kebenaran. Mereka sudah mengetahui bahawa Islam itu agama yang benar. Memang ramai kita mendengar orang yang tidak percaya kepada Islam dengan mengaku bahawa Islam itulah yang betul.

Kalau ditanya mengapa tidak mahu ikut Islam? Mereka menjawab Islam tidak boleh dan tidak sesuai dilaksanakan pada zaman sekarang. Kenyataan itu serupa dengan apa yang disebut di dalam ayat al-Quran.

Kepada ahli kitab pada zaman Nabi, Allah memerintahkan supaya memaafkan mereka dan membiarkan mereka sehingga Allah Taala mendatangkan perintah-Nya sesungguhnya Allah Maha Berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu, maksud ayat 109 surah al-Baqarah.

Ayat memaafkan mereka dimansukhkan hukumnya. Kalau kita lihat Allah menyatakan di dalam ayat itu � �Sehingga Allah mendatangkan perintah-Nya.� Apakah perintah-Nya? Perintah-Nya ialah firman Allah Taala dalam ayat 29 surah at-Taubah, maksudnya: Perangilah orang-orang yang tidak beriman dengan Allah.

Firman Allah Taala yang bermaksud: Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan daripada kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat segala yang kamu kerjakan.

Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: "Tidak sekali-kali akan masuk syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani." Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar."

(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintah-Nya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Dan orang-orang Yahudi berkata: "Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai sesuatu pegangan (agama yang benar)"; dan orang-orang Nasrani pula berkata: "Orang-orang Yahudi tidak mempunyai sesuatu pegangan (agama yang benar)"; padahal mereka membaca Kitab suci masing-masing (Taurat dan Injil). Demikian juga orang-orang (musyrik dari kaum Jahiliah) yang tidak berilmu pengetahuan, mengatakan seperti yang dikatakan oleh mereka itu. maka Allah akan menghukum (mengadili) di antara mereka pada hari kiamat mengenai apa yang mereka berselisihan padanya.

Di dalam ayat di atas, Allah SWT menceritakan tentang kesesatan Yahudi dan Nasrani serta kebingungan mereka di mana di antara kesesatan dan kejahatan mereka antara lain ialah mereka berkata bahawa tidak akan masuk syurga melainkan orang Yahudi. Ertinya selain Yahudi, tidak akan boleh sama sama sekali memasuki syurga Allah SWT.

Nukilan daripada buku 'Usaha jahat Yahudi' Kuliyyah Tafsir Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, halaman 1317 bab 124. _

Ambillah Islam Seluruhnya

Setiap sistem mempunyai falsafah dan gagasannya tentang kehidupan. Setiap sistem mempunyai masalah-masalah yang timbul dari penerapannya dan mempunyai persoalan-persoalan yang sesuai dengan watak dan pengaruhnya di alam nyata. Demikian pula setiap sistem mempunyai penyelesaian-penyelesaian untuk menghadapi persoalan dan masalah yang timbul dari watak dan metodologinya.
Jadi tidak munasabah, dan juga tidak adil, sekiranya dari suatu sistem tertentu diminta penyelesaian dari masalah-masalah yang tidak ditimbulkannya sendiri, tetapi ditimbulkan oleh suatu sistem lain yang berbeza watak dan metodologinya dari sistem itu. Pemikiran yang rasional akan berpendapat: Siapa yang bermaksud minta pendapat suatu sistem tertentu dalam menyelesaikan masalah-masalah kehidupan, maka sistem ini harus dilaksanakan terlebih dahulu dalam kenyataan hidup. Lalu setelah itu baru dilihat apakah masalah-masalah itu masih ada atau menghilang, atau berubah bentuk dan unsurnya. Hanya di saat inilah kita mungkin meminta pendapat sistem ini mengenai persoalan-persoalan yang timbul, sewaktu pelaksanaannya.

Islam Suatu Sistem Syumul

Islam adalah suatu sistem kemasyarakatan yang lengkap, yang segi-seginya saling berjalinan dan saling mendukung. Sistem ini berbeza wataknya, gagasannya tentang kehidupan dan cara-cara pelaksanaannya dari sistem-sistem Barat, dan dari sistem yang kita pakai sekarang ini. Perbezaan ini adalah perbezaan pokok dan menyeluruh. Sudah pasti bahawa system Islam itu tidak ikut serta dalam menimbulkan persoalan-persoalan yang terdapat dalam masyarakat sekarang ini. Persoalan-persoalan itu timbul dari watak sistem-sistem yang dilaksanakan dalam masyarakat dan timbul kerana dijauhkannya Islam dari lapangan kehidupan.

Tetapi yang aneh setelah itu, adalah bahawa Islam banyak sekali diminta pendapat mengenai persoalan-persoalan itu. Islam diminta untuk mengemukakan penyelesaiannya. Ia diminta untuk mengeluarkan pendapat tentang masalah yang tidak ditimbulkannya, dan ia tidak ikut serta dalam menimbulkannya. Hairan sekali kenapa Islam diminta pendapatnya, dalam suatu negara di mana sistem Islam itu tidak dilaksanakan, mengenai masalah-masalah seperti “Wanita dan Kerja”, “Wanita dan Pergaulan Bebas”, Masalah Seks Para Pemuda” dan lain-lain sebagainya. Orang-orang yang minta agar Islam mengeluarkan pendapatnya dalam masalah ini adalah orang-orang yang tidak suka kalau Islam itu memerintah, malah mereka takut sekali untuk membayangkan saat kalau kalau pemerintah Islam itu datang.

Dan yang lebih aneh lagi daripada pertanyaan-pertanyaan itu adalah jawapan-jawapan yang diberikan para ulama Islam, dan kesediaan mereka untuk ikut serta dengan para penanya itu dalam perdebatan tentang pendapat Islam dan hukum Islam, dalam perincian-perincian masalah seperti itu, dalam membahas persoalan-persoalan seperti itu, dalam suatu negara yang tidak diperintah oleh Islam dan sistem Islam tidak di laksanakan.

Apakah urusan Islam dengan masalah wanita dan pemuda bergaul bebas atau tidak? Apakah urusan Islam dengan masalah apakah wanita boleh bekerja di luaran atau tidak? Apa hubungan Islam dengan suatu persoalan dan persoalan-persoalan yang dipunyai sistem-sistem yang dilaksanakan dalam masyarakat ini, yang tidak percaya kepada Islam, dan tidak suka kepada pemerintah Islam?

Listen to Quran